Sunday, February 8, 2015

Doa memohon keistimewaan buat umrah dan haji

Ya Allah, aku mohon kepadamu. Ampunilah diriku. Berikanlah kerahmatanmu, taufik hidayahmu, ya Allah. Ya Allah, permudahkanlah pekerjaanku. Jauhilah aku daripada mereka yang suka membuat fitnah. Berikanlah keselamatan dunia & akhirat.

Ya, Allah, aku mohon kepadamu, ya Allah. Semasa aku di Tanah Suci, jadikanlah aku sebagai seorang yang sabar. Sabar dengan semua orang, ya Allah. Ya Allah, hilangkanlah panas baranku, berikanlah perasaan kasih sayang, cinta-mencintai sesama kami, ya Allah.

MEMOHON KEISTIMEWAAN
Ya Allah, kami mohon keampunanmu, ya Allah. Kami mohon rahmatmu, ya Allah. Kami mohon taufik dan hidayahmu, ya Allah. Ya Allah, aku dijemput olehmu bagi menunaikan ibadat umrah pada bulan April ni. Aku bersyukur atas segala nikmat yang engkau berikan pada kami sekeluarga. Ya Allah, terimalah aku sebagai tetamumu, ya Allah. Tetamu yang paling istimewa, ya Allah. Tetamu yang paling-paling istimewa. Tetamu yang paling-paling-paling istimewa, ya Allah. Ya Allah, jangan kau bezakan aku dengan mereka yang lain. Aku tahu engkaulah yang berkuasa memberi keistimewaan kepada sesiapa yang engkau mahu berikan. Ya Allah, ampunilah diriku, ya Allah.

MEMOHON IKATAN KASIH SAYANG
Ya Allah, kau ampunilah diriku. Ya Allah, bersama-sama aku nanti adalah isteriku, ibu dan bapa mertuaku. Ya Allah, kami pergi ke rumahmu semata-mata untuk beramal ibadat kepadamu. Jangan kau sukarkan perhubungan antara isteri, ibu dan bapa mertuaku dengan diriku. Ya Allah, kau berilah perasaan kasih sayang, cinta-mencintai antara kami, saling maaf-bermaafan dan tidak cepat berasa tersinggung dan bermasam muka. Jadikanlah kami saling faham-memahami dan saling kasih-mengasihi. Jagalah hubungan antara isteriku, ibu dan bapa mertuaku. Jangan kau uji kami dalam soal ini, ya Allah.

Ya Allah, hanya padamulah tempat kami bergantung harap. Ya Allah, berikanlah kemudahan kepada kami sekeluarga. Tempatkanlah kami di kawasan yang berdekatan dengan Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Ya Allah, kami mohon kepadamu supaya tempat tinggal kami tidak menjadi penghalang kepada tujuan kedatangan kami ke Madinah & Mekah. Kami mahu beramal ibadat kepadamu. Semata-mata untukmu, ya Allah. Permudahkanlah makan minum kami dan berikanlah kesihatan yang baik sepanjang kami di sana. Ya Allah, kau berikanlah rakan-rakan serombongan yang bertimbang rasa, berhati mulia dan menjaga silaturahim. Ya Allah, berikanlah kesabaran kepada kami dan rakan serombongan dalam menghadapi sebarang dugaan. Ya Allah, jauhilah kami daripada sengketa. Ampunilah kami, ya Allah.

Ya Allah, terimalah kami sebagai tetamumu, tetamu yang istimewa, tetamu yang paling istimewa, tetamu yang mendapat perlindungan dan kerahmatanmu. Ya Allah, hilangkanlah perasaan sombong, riak dan angkuh. Aku mahu jadi manusia yang istimewa di sisimu.

MEMOHON PERLINDUNGAN PERJALANAN
Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami dari rumah ke KLIA. Janganlah kami terjebak dengan sebarang kesulitan yang menyukarkan kami untuk sebarang kesulitan yang menyukarkan kami untuk mendaftar diri. Jauhilah kami daripada mala petaka, ya Allah. Ya Allah, permudahkanlah urusan pendaftaran. Permudahkanlah kami untuk bergerak ke KLIA dari Kota Warisan. Jangan kau pisahkan kami. Ya Allah, ya Tuhan kami, berilah ketenangan, keamanan dan kemudahan terutamanya dalam soal-soal kesihatan sepanjang perjalanan kami. Elakkan daripada perasaan kerap ingin membuang air kecil dan air besar. Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami dari KLIA ke Jeddah. Biarlah kami sekeluarga sentiasa bersama, tidak terpisah dan mendapat tempat yang istimewa di dalam kapal terbang. Ya Allah, ya Tuhan kami, permudahkanlah urusan kami di imigresen Jeddah. Mudahkan urusan kami untuk bertolak ke Madinah. Jauhilah kami daripada sebarang mala petaka. Selamatkanlah kami. Selamatkanlah kami sehingga kami sampai ke hotel.
Ya Allah, aku berkunjung ke rumahmu nanti hanya semata-mata untuk beramal ibadat kepadamu. Jangan kau pesongkan hasrat kami ini. Jangan kau duga kami dengan dugaan yang tidak mampu kami hadapi. Ya Allah, tutuplah pintu hati kami daripada berbelanja yang sia-sia di Madinah dan Mekah. Tutuplah pintu hatiku, isteriku, ibu dan bapa mertuaku supaya kami tidak menghabiskan masa kami dengan berbelanja semata-mata sehingga melalaikan kami daripada melakukan amal ibadat kepadamu. Ya Allah, aku mohon kepadamu dengan sebenar-benar permohonan. Aku mohon keredhaanmu.

MADINAH

Ya Allah, kami datang ke sini semata-mata keranamu. Ya Allah, jangan kau palingkan niat dan tujuan kami. Jangan kau uji kami dengan perkara-perkara yang dapat merosakkan niat dan tujuan kami. Ampunilah kami, ya Allah.

DOA DEPAN LIF HOTEL
Ya, Allah. Ampunilah kami. Ya Allah, berikanlah rahmatmu. Ya Allah, kami ingin mengunjungi rumahmu. Ya Allah, kami datang ke sini semata-mata keranamu, Ya Allah. Semata-mata beribadat kepadamu, mudahkan kami,ya Allah. Berikanlah ruang dan tempat yang mustajab untuk kami beramal-ibadat kepadamu, ya Allah.

DOA TENGOK KAABAH
Ya Allah, tunaikanlah permintaan hambamu ini. Aku teringin menunaikan fardhu haji. Jemputlah daku, ya Allah. Berikanlah kecukupan wang ringgit. Berikanlah tubuh badan yang sihat, Berikanlah kelapangan masa. Berikanlah keringanan hati untuk menghadapmu, ya Allah.

DOA MOHON KEAMPUNAN DOSA IBU BAPA
Ya Allah, ampunilah dosa arwah abah dan arwah emak. Ya Allah, jauhilah abah dan emak daripada seksa kubur dan tempatkan mereka di kalangan orang yang beriman, beramal soleh dan berikanlah syurga yang istimewa buat mereka, Syurga Firdaus, Ya Allah.

Ya Allah, sekiranya kau panggil kami, sekiranya kau jemput kami, tempatkanlah kami di kalangan orang-orang yang beramal soleh. Ya Allah, dengan rahmatmu, masukkanlah kami ke dalam syurgamu. Syurga yang istimewa. Syurga yang paling istimewa. Syurga Firdaus, ya Allah. Temukan kami di sana, ya Allah.

Ya Allah, ampunilah diriku, ya Allah. Aku mohon rahmatmu, ya Allah. Aku mohon taufik dan hidayahmu. Ya Allah, cukup ramai sahabat handai dan sanak saudaraku yang memberi hadiah dan sumbangan kepada kami sekeluarga. Ya Allah, balaskan segala niat ikhlas mereka dengan keredhaanmu. Ampunilah dosa-dosa mereka, bukalah pintu hati mereka bagi menunaikan umrah supaya mereka dapat merasa nikmat sebagaimana yang engkau berikan kepadaku. Ya Allah, murahkanlah rezeki mereka.

Ya Allah, ampunilah diriku, ya Allah. Aku mohon rahmatmu, ya Allah. Aku mohon taufik dan hidayahmu, ya Allah. Ya Allah, aku wakafkan naskhah-naskhah Al-quran ini, ya Allah bagi digunakan oleh sesiapa sahaja. Ia adalah sebahagian daripada wang yang disumbangkan oleh rakan-rakan dan sahabat handai kami, ya Allah. Sekiranya ada manfaat atau keberkatan daripada penggunaan naskhah-naskhah ini, ya Allah, kau pulangkanlah kepada mereka, ya Allah. Ampunilah kami, ya Allah.

DOA SEBELUM MEMASUKI LIF TURUN HOTEL (MADINAH) SEBELUM BERGERAK KE MEKAH
Ya Allah, aku mohon keampunan daripadamu, aku mohon rahmatmu, aku mohon taufik hidayahmu. Ya Allah, hari ini adalah hari terakhir aku di Masjid Nabi. Ya Allah, izinkanlah aku bersembahyang dan beramal ibadah di kawasan Raudah dengan masa yang lebih panjang berbanding pada hari-hari biasa, ya Allah. Ya Allah, aku mohon keizinanmu, ya Allah.

DOA UNTUK RAKAN-RAKAN
Ya Allah, aku mohon keampunan daripadamu. Aku mohon rahmatmu, aku mohon taufik hidayahmu. Ya Allah, ampunilah dosa rakan-rakanku, berilah perasaan takut dan gentar kepadamu, ya Allah. Berikanlah rezeki yang halal kepada mereka dan sejahterakanlah kehidupan mereka.

DOA UNTUK ADIK-BERADIK
Ya Allah, aku mohon keampunan daripadamu. Aku mohon rahmatmu, aku mohon taufik hidayahmu. Ya Allah, ampunilah dosa Zamila sekeluarga, Nurain sekeluarga, Mohd Zaki sekeluarga, Siti Zawiah sekeluarga. Bahagiakan keluarga-keluarga ini, jadikan anak-anak mereka sebagai anak-anak yang soleh dan soleha. Ya Allah, berikan keselamatan dunia dan akhirat kepada mereka sekeluarga. Ya Allah, berikan kepada kami perasaan saling kasih-mengasihi, ya Allah.

Ya Allah, aku mohon keampunan daripadamu. Aku mohon rahmatmu, aku mohon taufik hidayahmu. Ya Allah, ampunilah dosa adikku, Mohd Nazir. Mudah-mudahan dia akan mendapat pekerjaan tetap yang diberkati dunia dan akhirat dan menimba sebanyak ilmu yang diberkati, Ya Allah, berikan keselamatan dunia dan akhirat kepadanya. Ya Allah, berikan kepada kami perasaan saling kasih-mengasihi, ya Allah.

MEKAH

DOA SAMPAI DI PAGAR LUAR MASJIDIL HARAM
Baca Al-Fatihah
Ya Allah, kami sudah berada di perkarangan Masjidil Haram. Bantulah kami, ya Allah. Berikanlah ruang dan tempat yang mustajab untuk kami. Kami datang semata-mata keranamu, ya Allah, keranamu, ya Allah.

SEBELUM MELANGKAH KAKI KE MASJIDIL HARAM, KETIKA DI PINTU MASUK UTAMA, AMBIL AIR ZAM-ZAM, SAMBIL MENGADAP KIBLAT, BACA ALFATIHAH (1X), SOLAWAT NABI (11X) & DOA BERIKUT:
Ya Allah, ampunilah kami, berikanlah rahmatmu, berikanlah taufik dan hidayahmu. Ya Allah, jadikanlah air zam-zam ini sebagai penawar kepada segala penyakit. Hilangkanlah batuk kami, hilangkanlah demam-demam kami, hilangkanlah lenguh-lenguh kami. Ya Allah, berikanlah kesegaran kepada mata kami, minda yang cergas dan hati yang sihat. Ya Allah, kami datang ke sini semata-mata keranamu. Ya Allah, semata-mata keranamu, ya Allah. Kami mahu beramal ibadat kepadamu, ya Allah, bantulah kami, ya Allah.
Doa melaksanakan ibadah saie
Ya Allah, ampunilah diriku, rahmatilah aku, berikanlah taufik dan hidayah, mudahkanlah perjalanan umrah kami. Ya Allah, berilah kekuatan kepadaku bagi menghabiskan ibadat saie ini.

DOA DEPAN LIF HOTEL UNTUK MELAKSANAKAN UMRAH DI TANAIM
Ya Allah, kami bersyukur atas segala nikmat yang engkau berikan sepanjang kami berada di Mekah. Kami mohon keampunan, berikanlah keberkatanmu, kerahmatanmu dan taufik hidayahmu. Ya Allah, kami ingin melakukan ibadat umrah sunat dan permudahkan kami, jauhilah kami daripada mereka yang suka menipu, berikan ruang dan tempat yang paling mustajab di Masjidil Haram dan jangan engkau pesongkan hati kami. Kami datang ke mari semata-mata keranamu, ya Allah. Semata-mata untuk beramal ibadat kepadamu, ya Allah. Ampunilah kami, ya Allah.

Ya Allah, sekiranya kau panggil kami, sekiranya kau jemput kami, tempatkanlah kami di kalangan orang-orang yang beramal soleh. Ya Allah, dengan rahmatmu, masukkanlah kami ke dalam syurgamu. Syurga yang istimewa. Syurga yang paling istimewa. Syurga Firdaus, ya Allah. Temukan kami di sana, ya Allah.

MEMOHON KEMUDAHAN PERJALANAN PULANG
Ya Allah, ya Tuhan kami. Kau ampunilah kami. Kau berikanlah taufik dan hidayah. Kau berikanlah kerahmatan kepada kami. Ya Allah, selepas selesai segala-galanya, aku mohon kepadamu, permudahkanlah perjalanan pulang kami. Permudahkanlah segala urusan di Lapangan Terbang Madinah. Permudahkanlah kami semasa di dalam kapal Madinah. Ya Allah, jauhilah malapetaka semasa perjalanan pulang. Berikanlah keselamatan kami sehingga kami dapat berjumpa dengan ahli keluargaku dan saudara mara. Ya Allah, kau berkatilah kami ya Allah. Ampunilah kami, ya Allah.

2 comments: