Sunday, February 8, 2015

Tips melancong bersama bayi

Berikut dikongsikan sedikit sebanyak tips bercuti dengan gembira bersama anak kecil atau bayi anda:

1.  Rancang waktu memulakan perjalanan hampir dengan waktu tidur anak
  • Anak kecil mudah merasa bosan apabila terpaksa duduk di dalam kenderaan dalam tempoh yang agak panjang. Mereka akan mudah meragam bagi menterjemahkan kebosanan mereka. Bagi mengelakkan ini daripada berlaku, adalah lebih baik memulakan perjalanan pada waktu yang hampir dengan waktu tidur anak supaya masa perjalanan mereka terisi dengan tidur.
  • Jika terpaksa juga memulakan perjalanan pada waktu anak segar-bugar, kerapkan berhenti di hentian rehat & rawat (jika memandu sendiri). Ini dapat memberi peluang kepada anak-anak menghirup udara segar di luar kenderaan anda, di samping mereka membeli-belah makanan dan minuman kegemaran mereka (anda akan bernasib baik jika hentian tersebut tidak menjual mainan kegemaran mereka!) Anak-anak tidak bosan, pemandu juga tidak tertekan.
2.  Elakkan bercuti semasa cuti sekolah
  • Bagi mengelakkan kesesakan di tempat percutian, elakkan bercuti semasa cuti sekolah. Tetapi tips ini hanya sesuai untuk ibu bapa yang tidak mempunyai anak yang bersekolah. Kesesakan akan menyebabkan anda mungkin terpaksa bersesak-sesak untuk mengambil giliran atau menunggu lama bagi menjalankan sesuatu aktiviti di tempat percutian. Situasi ini bukan sahaja tidak menyelesakan anak kecil anda bahkan juga boleh mengancam kesihatan dan keselamatan mereka juga.
3.  Bercuti bersama-sama rakan / saudara
  • Bercuti bersama orang yang dikenali seperti rakan-rakan atau sanak saudara sebenarnya memberi kelebihan. Selain dapat membantu memantau dan mengawal anak kecil anda, mereka juga dapat meredakan tekanan yang mungkin akan anda alami semasa percutian dengan menjadi rakan berbual dan bergurau senda. Jika percutian anda tidak dapat disertai oleh rakan-rakan mahupun sanak saudara, cuba usahakan untuk membawa bersama seorang pembantu seperti ibu, kakak, adik ataupun anak saudara yang boleh diharapkan untuk membantu menjaga anak kecil anda. Ianya berbaloi untuk mengeluarkan kos yang lebih sikit demi percutian yang menggembirakan!
4.  Sediakan keperluan anak secukupnya
  • Jika anak anda menyusu dengan susu formula, bawa bersama susu mereka secukupnya kerana anda tidak pasti adakah tempat percutian anda ada menjual jenama susu yang mereka guna. Bawa juga bersama termos air panas, berus pencuci botol, sabun pencuci botol (dipek semula menggunakan botol yang lebih kecil) dan botol susu juga. Anda beruntung jika anak anda menyusu dengan susu ibu kerana tidak perlu membuat persediaan ini kerana susu anak anda telah tersedia untuk dinikmati bila-bila masa dan di mana jua. Cuma anda mungkin perlu membawa bersama nursing cover untuk memudahkan urusan menyusu anda di tempat awam.
  • Sediakan keperluan lampin pakai buang secukupnya. Bagi memudahkan penukaran lampin, adalah lebih praktikal jika anda menggunakan lampin pakai buang jenis seluar terutama bagi anak-anak yang telah berumur 8 bulan ke atas, yang tidak suka dibaringkan apabila memakai lampin. Jika anda membawa lampin pakai buang biasa, bawa bersama ‘changing mat’ bagi memudahkan anda menukar lampin anak di mana jua.
  • Pastikan pakaian anak anda dibawa dengan cukup sepanjang percutian. Berapa banyak yang perlu dibawa bergantung kepada keperluan, mungkin 3 pasang sehari adalah memadai. Bawa juga bersama topi, kasut, stoking, tuala mandi, tuala kecil, tisu lembap, bantal kecil, tisu poket, set mandian (travel pack), putik kapas, ubat-ubatan, dan juga termometer untuk memudahkan memantau suhu badan anak. Perubahan cuaca mungkin boleh menyebabkan anak kecil anda mudah mendapat demam. Mungkin anda boleh mencuba petua tidak memandikan anak kurang daripada 3 jam sesudah sampai.
  • Bawa bersama pengendong bayi (baby carrier / baby sling) bagi memudahkan pergerakan anda bersama bayi terutamanya yang belum pandai berjalan sendiri. Membawa stroller mungkin kurang praktikal memandangkan saiznya yang besar dan berat.
  • Jangan dilupakan, bawa bersama makanan untuk bayi anda seperti nestum, biskut bayi, puri dan sebagainya memandangkan makanan bayi sukar didapati, tidak  seperti makanan orang dewasa. Bagi anak-anak yang lebih besar, bawakan bersama makanan dan minuman kegemaran mereka seperti biskut, roti, snek, lollipop, air kotak dan sebagainya untuk dimakan dan diminum sekurang-kurangnya semasa dalam perjalanan. Makanan akan membuatkan mereka leka dan perut yang kenyang akan membuatkan mereka kurang meragam. 
5.  Simpan keperluan utama anak dalam beg yang mudah dicapai
  • Keperluan utama anak seperti beberapa helai lampin pakai buang, changing mat, tisu lembap, tuala kecil, tisu poket, termos kecil, sebotol air mineral / air masak, susu formula yang telah disukat di dalam compartment susu, nursing cover (jika menyusu dengan susu ibu), makanan dan minuman, baby carrier serta bantal kecil hendaklah disimpan di dalam sebuah beg yang mudah dicapai. Bagi memudahkan pergerakan terutamanya apabila menggunakan kenderaan awam, menggunakan beg sandang belakang adalah lebih praktikal untuk membawa keperluan utama ini.
6.  Bawa bersama mainan kesukaan atau buku kegemaran
  • Bagi mengelakkan anak anda merasa bosan sepanjang perjalanan ataupun semasa menunggu giliran dan sebagainya, bawa bersama mainan atau buku kegemarannya. Mainan dan buku yang baru dibeli mungkin lebih memberi tarikan berbanding mainan dan buku yang telah biasa mereka lihat. Jangan lupa memasukkan mainan atau buku ini dalam beg yang mudah dicapai tadi.
7.  Pilih penginapan yang selesa
  • Jika anda perlu menguruskan penginapan sendiri, pastikan penginapan anda telah ditempah lebih awal. Pilih penginapan yang selesa dengan mempunyai ruang untuk anak anda merangkak, berlari atau bermain. Jika anda mempunyai bajet yang lebih, memilih penginapan yang mempunyai kolam renang adalah lebih baik memandangkan kebanyakan kanak-kanak amat gemar bermain air.
8.  Utamakan waktu rehat anak
  • Berjalan bersama anak kecil memerlukan kita mengikut rentak mereka. Elakkan terus berjalan-jalan sedangkan anak kecil anda sudah keletihan dan mengantuk. Keletihan akan menyebabkan mereka meragam yang mana kerenah mereka mungkin akan membangkitkan kemarahan dan tekanan diri anda. Cuba rancang waktu anda dengan memberi ruang rehat secukupnya kepada anak kecil anda sebelum anda memulakan aktiviti. Keletihan yang berterusan juga mungkin boleh mengganggu kesihatan anak kecil anda. 
9.  Jangan bertangguh
  • Bercuti bersama si kecil akan mengehadkan langkah anda semasa bercuti yang mana mood anda bergantung kepada mood mereka juga. Jika anda terjumpa sesuatu cenderahati atau barangan yang berkenan di hati semasa anda beraktiviti, jangan bertangguh untuk membeli kerana anda mungkin tidak berpeluang untuk kembali ke situ lagi. Gunakan masa yang ada sebaiknya. Jangan bertangguh untuk melakukan sesuatu kerana anda tidak pasti bagaimana keadaan si kecil anda pada waktu tersebut.
10. Sentiasa berlapang dada
  • Akhir sekali, nikmati percutian anda bersama si kecil dengan hati yang terbuka. Sentiasa berlapang dada dengan segala kerenah anak-anak anda. Kegembiraan itu datangnya daripada hati. Jika hati anda ikhlas dan sabar melayan kerenah anak-anak dan menukarkan segala perasaan negatif kepada positif, insya-Allah, percutian anda akan menjadi percutian yang menyeronokkan! Anak-anak gembira, ibu bapa bahagia..
Selamat bercuti!

Doa memohon keistimewaan buat umrah dan haji

Ya Allah, aku mohon kepadamu. Ampunilah diriku. Berikanlah kerahmatanmu, taufik hidayahmu, ya Allah. Ya Allah, permudahkanlah pekerjaanku. Jauhilah aku daripada mereka yang suka membuat fitnah. Berikanlah keselamatan dunia & akhirat.

Ya, Allah, aku mohon kepadamu, ya Allah. Semasa aku di Tanah Suci, jadikanlah aku sebagai seorang yang sabar. Sabar dengan semua orang, ya Allah. Ya Allah, hilangkanlah panas baranku, berikanlah perasaan kasih sayang, cinta-mencintai sesama kami, ya Allah.

MEMOHON KEISTIMEWAAN
Ya Allah, kami mohon keampunanmu, ya Allah. Kami mohon rahmatmu, ya Allah. Kami mohon taufik dan hidayahmu, ya Allah. Ya Allah, aku dijemput olehmu bagi menunaikan ibadat umrah pada bulan April ni. Aku bersyukur atas segala nikmat yang engkau berikan pada kami sekeluarga. Ya Allah, terimalah aku sebagai tetamumu, ya Allah. Tetamu yang paling istimewa, ya Allah. Tetamu yang paling-paling istimewa. Tetamu yang paling-paling-paling istimewa, ya Allah. Ya Allah, jangan kau bezakan aku dengan mereka yang lain. Aku tahu engkaulah yang berkuasa memberi keistimewaan kepada sesiapa yang engkau mahu berikan. Ya Allah, ampunilah diriku, ya Allah.

MEMOHON IKATAN KASIH SAYANG
Ya Allah, kau ampunilah diriku. Ya Allah, bersama-sama aku nanti adalah isteriku, ibu dan bapa mertuaku. Ya Allah, kami pergi ke rumahmu semata-mata untuk beramal ibadat kepadamu. Jangan kau sukarkan perhubungan antara isteri, ibu dan bapa mertuaku dengan diriku. Ya Allah, kau berilah perasaan kasih sayang, cinta-mencintai antara kami, saling maaf-bermaafan dan tidak cepat berasa tersinggung dan bermasam muka. Jadikanlah kami saling faham-memahami dan saling kasih-mengasihi. Jagalah hubungan antara isteriku, ibu dan bapa mertuaku. Jangan kau uji kami dalam soal ini, ya Allah.

Ya Allah, hanya padamulah tempat kami bergantung harap. Ya Allah, berikanlah kemudahan kepada kami sekeluarga. Tempatkanlah kami di kawasan yang berdekatan dengan Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Ya Allah, kami mohon kepadamu supaya tempat tinggal kami tidak menjadi penghalang kepada tujuan kedatangan kami ke Madinah & Mekah. Kami mahu beramal ibadat kepadamu. Semata-mata untukmu, ya Allah. Permudahkanlah makan minum kami dan berikanlah kesihatan yang baik sepanjang kami di sana. Ya Allah, kau berikanlah rakan-rakan serombongan yang bertimbang rasa, berhati mulia dan menjaga silaturahim. Ya Allah, berikanlah kesabaran kepada kami dan rakan serombongan dalam menghadapi sebarang dugaan. Ya Allah, jauhilah kami daripada sengketa. Ampunilah kami, ya Allah.

Ya Allah, terimalah kami sebagai tetamumu, tetamu yang istimewa, tetamu yang paling istimewa, tetamu yang mendapat perlindungan dan kerahmatanmu. Ya Allah, hilangkanlah perasaan sombong, riak dan angkuh. Aku mahu jadi manusia yang istimewa di sisimu.

MEMOHON PERLINDUNGAN PERJALANAN
Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami dari rumah ke KLIA. Janganlah kami terjebak dengan sebarang kesulitan yang menyukarkan kami untuk sebarang kesulitan yang menyukarkan kami untuk mendaftar diri. Jauhilah kami daripada mala petaka, ya Allah. Ya Allah, permudahkanlah urusan pendaftaran. Permudahkanlah kami untuk bergerak ke KLIA dari Kota Warisan. Jangan kau pisahkan kami. Ya Allah, ya Tuhan kami, berilah ketenangan, keamanan dan kemudahan terutamanya dalam soal-soal kesihatan sepanjang perjalanan kami. Elakkan daripada perasaan kerap ingin membuang air kecil dan air besar. Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami dari KLIA ke Jeddah. Biarlah kami sekeluarga sentiasa bersama, tidak terpisah dan mendapat tempat yang istimewa di dalam kapal terbang. Ya Allah, ya Tuhan kami, permudahkanlah urusan kami di imigresen Jeddah. Mudahkan urusan kami untuk bertolak ke Madinah. Jauhilah kami daripada sebarang mala petaka. Selamatkanlah kami. Selamatkanlah kami sehingga kami sampai ke hotel.
Ya Allah, aku berkunjung ke rumahmu nanti hanya semata-mata untuk beramal ibadat kepadamu. Jangan kau pesongkan hasrat kami ini. Jangan kau duga kami dengan dugaan yang tidak mampu kami hadapi. Ya Allah, tutuplah pintu hati kami daripada berbelanja yang sia-sia di Madinah dan Mekah. Tutuplah pintu hatiku, isteriku, ibu dan bapa mertuaku supaya kami tidak menghabiskan masa kami dengan berbelanja semata-mata sehingga melalaikan kami daripada melakukan amal ibadat kepadamu. Ya Allah, aku mohon kepadamu dengan sebenar-benar permohonan. Aku mohon keredhaanmu.

MADINAH

Ya Allah, kami datang ke sini semata-mata keranamu. Ya Allah, jangan kau palingkan niat dan tujuan kami. Jangan kau uji kami dengan perkara-perkara yang dapat merosakkan niat dan tujuan kami. Ampunilah kami, ya Allah.

DOA DEPAN LIF HOTEL
Ya, Allah. Ampunilah kami. Ya Allah, berikanlah rahmatmu. Ya Allah, kami ingin mengunjungi rumahmu. Ya Allah, kami datang ke sini semata-mata keranamu, Ya Allah. Semata-mata beribadat kepadamu, mudahkan kami,ya Allah. Berikanlah ruang dan tempat yang mustajab untuk kami beramal-ibadat kepadamu, ya Allah.

DOA TENGOK KAABAH
Ya Allah, tunaikanlah permintaan hambamu ini. Aku teringin menunaikan fardhu haji. Jemputlah daku, ya Allah. Berikanlah kecukupan wang ringgit. Berikanlah tubuh badan yang sihat, Berikanlah kelapangan masa. Berikanlah keringanan hati untuk menghadapmu, ya Allah.

DOA MOHON KEAMPUNAN DOSA IBU BAPA
Ya Allah, ampunilah dosa arwah abah dan arwah emak. Ya Allah, jauhilah abah dan emak daripada seksa kubur dan tempatkan mereka di kalangan orang yang beriman, beramal soleh dan berikanlah syurga yang istimewa buat mereka, Syurga Firdaus, Ya Allah.

Ya Allah, sekiranya kau panggil kami, sekiranya kau jemput kami, tempatkanlah kami di kalangan orang-orang yang beramal soleh. Ya Allah, dengan rahmatmu, masukkanlah kami ke dalam syurgamu. Syurga yang istimewa. Syurga yang paling istimewa. Syurga Firdaus, ya Allah. Temukan kami di sana, ya Allah.

Ya Allah, ampunilah diriku, ya Allah. Aku mohon rahmatmu, ya Allah. Aku mohon taufik dan hidayahmu. Ya Allah, cukup ramai sahabat handai dan sanak saudaraku yang memberi hadiah dan sumbangan kepada kami sekeluarga. Ya Allah, balaskan segala niat ikhlas mereka dengan keredhaanmu. Ampunilah dosa-dosa mereka, bukalah pintu hati mereka bagi menunaikan umrah supaya mereka dapat merasa nikmat sebagaimana yang engkau berikan kepadaku. Ya Allah, murahkanlah rezeki mereka.

Ya Allah, ampunilah diriku, ya Allah. Aku mohon rahmatmu, ya Allah. Aku mohon taufik dan hidayahmu, ya Allah. Ya Allah, aku wakafkan naskhah-naskhah Al-quran ini, ya Allah bagi digunakan oleh sesiapa sahaja. Ia adalah sebahagian daripada wang yang disumbangkan oleh rakan-rakan dan sahabat handai kami, ya Allah. Sekiranya ada manfaat atau keberkatan daripada penggunaan naskhah-naskhah ini, ya Allah, kau pulangkanlah kepada mereka, ya Allah. Ampunilah kami, ya Allah.

DOA SEBELUM MEMASUKI LIF TURUN HOTEL (MADINAH) SEBELUM BERGERAK KE MEKAH
Ya Allah, aku mohon keampunan daripadamu, aku mohon rahmatmu, aku mohon taufik hidayahmu. Ya Allah, hari ini adalah hari terakhir aku di Masjid Nabi. Ya Allah, izinkanlah aku bersembahyang dan beramal ibadah di kawasan Raudah dengan masa yang lebih panjang berbanding pada hari-hari biasa, ya Allah. Ya Allah, aku mohon keizinanmu, ya Allah.

DOA UNTUK RAKAN-RAKAN
Ya Allah, aku mohon keampunan daripadamu. Aku mohon rahmatmu, aku mohon taufik hidayahmu. Ya Allah, ampunilah dosa rakan-rakanku, berilah perasaan takut dan gentar kepadamu, ya Allah. Berikanlah rezeki yang halal kepada mereka dan sejahterakanlah kehidupan mereka.

DOA UNTUK ADIK-BERADIK
Ya Allah, aku mohon keampunan daripadamu. Aku mohon rahmatmu, aku mohon taufik hidayahmu. Ya Allah, ampunilah dosa Zamila sekeluarga, Nurain sekeluarga, Mohd Zaki sekeluarga, Siti Zawiah sekeluarga. Bahagiakan keluarga-keluarga ini, jadikan anak-anak mereka sebagai anak-anak yang soleh dan soleha. Ya Allah, berikan keselamatan dunia dan akhirat kepada mereka sekeluarga. Ya Allah, berikan kepada kami perasaan saling kasih-mengasihi, ya Allah.

Ya Allah, aku mohon keampunan daripadamu. Aku mohon rahmatmu, aku mohon taufik hidayahmu. Ya Allah, ampunilah dosa adikku, Mohd Nazir. Mudah-mudahan dia akan mendapat pekerjaan tetap yang diberkati dunia dan akhirat dan menimba sebanyak ilmu yang diberkati, Ya Allah, berikan keselamatan dunia dan akhirat kepadanya. Ya Allah, berikan kepada kami perasaan saling kasih-mengasihi, ya Allah.

MEKAH

DOA SAMPAI DI PAGAR LUAR MASJIDIL HARAM
Baca Al-Fatihah
Ya Allah, kami sudah berada di perkarangan Masjidil Haram. Bantulah kami, ya Allah. Berikanlah ruang dan tempat yang mustajab untuk kami. Kami datang semata-mata keranamu, ya Allah, keranamu, ya Allah.

SEBELUM MELANGKAH KAKI KE MASJIDIL HARAM, KETIKA DI PINTU MASUK UTAMA, AMBIL AIR ZAM-ZAM, SAMBIL MENGADAP KIBLAT, BACA ALFATIHAH (1X), SOLAWAT NABI (11X) & DOA BERIKUT:
Ya Allah, ampunilah kami, berikanlah rahmatmu, berikanlah taufik dan hidayahmu. Ya Allah, jadikanlah air zam-zam ini sebagai penawar kepada segala penyakit. Hilangkanlah batuk kami, hilangkanlah demam-demam kami, hilangkanlah lenguh-lenguh kami. Ya Allah, berikanlah kesegaran kepada mata kami, minda yang cergas dan hati yang sihat. Ya Allah, kami datang ke sini semata-mata keranamu. Ya Allah, semata-mata keranamu, ya Allah. Kami mahu beramal ibadat kepadamu, ya Allah, bantulah kami, ya Allah.
Doa melaksanakan ibadah saie
Ya Allah, ampunilah diriku, rahmatilah aku, berikanlah taufik dan hidayah, mudahkanlah perjalanan umrah kami. Ya Allah, berilah kekuatan kepadaku bagi menghabiskan ibadat saie ini.

DOA DEPAN LIF HOTEL UNTUK MELAKSANAKAN UMRAH DI TANAIM
Ya Allah, kami bersyukur atas segala nikmat yang engkau berikan sepanjang kami berada di Mekah. Kami mohon keampunan, berikanlah keberkatanmu, kerahmatanmu dan taufik hidayahmu. Ya Allah, kami ingin melakukan ibadat umrah sunat dan permudahkan kami, jauhilah kami daripada mereka yang suka menipu, berikan ruang dan tempat yang paling mustajab di Masjidil Haram dan jangan engkau pesongkan hati kami. Kami datang ke mari semata-mata keranamu, ya Allah. Semata-mata untuk beramal ibadat kepadamu, ya Allah. Ampunilah kami, ya Allah.

Ya Allah, sekiranya kau panggil kami, sekiranya kau jemput kami, tempatkanlah kami di kalangan orang-orang yang beramal soleh. Ya Allah, dengan rahmatmu, masukkanlah kami ke dalam syurgamu. Syurga yang istimewa. Syurga yang paling istimewa. Syurga Firdaus, ya Allah. Temukan kami di sana, ya Allah.

MEMOHON KEMUDAHAN PERJALANAN PULANG
Ya Allah, ya Tuhan kami. Kau ampunilah kami. Kau berikanlah taufik dan hidayah. Kau berikanlah kerahmatan kepada kami. Ya Allah, selepas selesai segala-galanya, aku mohon kepadamu, permudahkanlah perjalanan pulang kami. Permudahkanlah segala urusan di Lapangan Terbang Madinah. Permudahkanlah kami semasa di dalam kapal Madinah. Ya Allah, jauhilah malapetaka semasa perjalanan pulang. Berikanlah keselamatan kami sehingga kami dapat berjumpa dengan ahli keluargaku dan saudara mara. Ya Allah, kau berkatilah kami ya Allah. Ampunilah kami, ya Allah.

Rezeki 2011

Februari 2011 – Alhamdulillah penantian selama 8 tahun berakhir. Mak Ngah disahkan mengandung.

Jun 2011 – berjaya mendapat biasiswa UTM untuk sambung Diploma SPACE dalam jurusan Diploma Pengurusan Teknologi. Rezeki anak. Alhamdulillah.

4 Disember 2011 - Lahirlah zuriat yang dinanti. baby girl yang diberi nama Nawal Nur Iman binti Mohd Shaifuddin

REZEKI 2010

Alhamdulillah, 2010 membawa rezeki yang bermakna pada Mak Ngah & Pak Ngah. Tulisan ini sekadar peringatan agar tidak mudah lupa dengan segala pemberian Allah S.W.T.

1. 22 April 2010: berjaya membawa Nek Wan dan Tok Baba ke Tanah Suci Mekah untuk melaksanakan umrah. Walaupun belum berkemampuan untuk menghantar mereka untuk menunaikan Haji, sekurang-kurangnya dengan melaksanakan umrah, mereka dah pernah merasa jejak ke tanah suci Mekah & Madinah.

2. Alhamdulillah, selepas pulang dari umrah, pelbagai rezeki diterima.  
   Nov 2010: Pak Ngah terpilih ke Global Outreach Program anjuran UTM ke Beijing,          China.               
      Dis 2010: Mak Ngah juga  terpilih ke Global Outreach Program anjuran UTM ke Beijing China. Walaupun Mak Ngah & Pak Ngah x pergi saing, tapi seronok kerana dapat pergi ke luar negara lagi-lagi tempat yang dikatakan antara 7 tempat ajaib di dunia (dulunyalah).

3. Lepas balik China, Mak Ngah & Pak Ngah terpilih mengikuti Kursus Healthy Living anjuran UTM di bawah pimpinan Datin Seri Dr. Zainah Mokhtar (isteri Naib Canselor UTM).

4. Dis 2010: Dipermudahkan buat treatment polistic ovary syndrome (PCOS) dengan Prof. Dato’ Khalid (anak kepada Tun Fatimah).